BERITA SOSIOBUDAYA
BENGKEL PENGUKUHAN INTEGRITI PENGERUSI JAWATANKUASA KESELAMATAN DAN KEMAJUAN KAMPUNG DAERAH KUALA KEDAH HASILKAN 10 RESOLUSI
Sektor Sosiobudaya IIM dengan kerjasama Institut Integriti & Pengurusan Negeri Kedah (INSPIN) dan Jabatan Pembangunan Negeri Kedah telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan Integriti Pengerusi JKKKP Peringkat Daerah Kuala Kedah bertempat di Dewan KCS, Kedah. Seramai 120 orang pengerusi JKKK Lantikan Kerajaan Persekutuan telah menyertai bengkel sehari yang telah diadakan pada 23 Februari 2011 itu.
Bagi sesi sebelah pagi sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan seperti berikut:-
i) Agenda Pembudayaan Integriti Negeri Melalui PIN oleh En. Anuar bin Haji Ahmad, Pengurus Sosiobudaya, IIM;
ii) Kepimpinan Berintegriti –Antara Cabaran & Harapan oleh Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz, Pengarah, Institut Pemikiran Tun Dr.Mahathir, UUM ; dan
iii) Tanggung Jawab Sebagai Satu Amanah oleh Tuan Sheikh Mawazdi bin Dyiazuddin, Timbalan Mufti Negeri Kedah.
Sesi sebelah petang pula telah diisi dengan sesi bengkel di mana para peserta telah dipecahkan kepada 4 kumpulan dan perbincangan telah berlangsung dalam suasana yang cukup memberangsangkan dengan para peserta begitu teruja untuk mengutarakan pandangan.
Sebanyak sepuluh 10 Resoulusi telah dihasilkan seperti berikut:-
i) Masjid-masjid di kampong-kampung di daerah Kuala Kedah perlu melantik pegawai-pegawai syarak dalam kalangan golongan muda khususnya belia sebagai pelapis kepada kepimpinan masjid;
ii) Setiap masjid menggunakan kemudahan audio visual dalam khutbahnya bagi memastikan agar khutbah menjadi lebih menarik dan tahap konsentrasi dan pemahaman jemaah yang hadir terhadap intipati khutbah meningkat;
iii) Pengerusi JKKK sentiasa menyimpan rekod terkini terhadap setiap anggota komuniti dalam kampong masing-masing seperti bilangan anak yang belajar, tahap pendapatan keluarga, jumlah ibu tunggal, penagih dadah dan sebagainya;
iv) Pengerusi JKKK hendaklah sentiasa menyimpan rekod keluar masuk orang luar yang datang bertandang ke kampong masing-masing sebagai satu usaha mengurangkan kadar jenayah;
v) Tazkirah dan kuliah agama mengenai keburukan rasuah akan dipertingkatkan agar dapat membantu negara mempertingkatkan indeks persepsi rasuah negara di peringkat antara bangsa;
vi) Operasi pencegahan maksiat dipertingkatkan dalam kampong dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Daerah,pegawai syarak, RELA, Rukun Tetangga dan sebagainya;
vii) Pengerusi JKKK mengadakan pertemuan secara berkala dengan penduduk sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk mendapatkan maklum balas mengenai kemajuan, kebajikan dan keselamatan kampong;
viii) Menganjurkan pelbagai program sosio budaya di peringkat kampong sebagai usaha merapatkan hubungan sesama anggota komuniti tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.
ix) Mengesyorkan agar kerajaan memberikan pengiktirafan seperti JKKK Contoh atau Pengerusi JKKK Terbaik di peringkat Daerah dan Negeri; dan
x) Menganjurkan program usahasama di peringkat daerah seperti Sukan Rakyat, Hari Keluarga, Pemimpin Bersama Rakyat dan sebagainya bagi merapatkan hubungan dalam kalangan pemimpin kampong di peringkat daerah demi untuk kebaikan bersama.
Bengkel Pengukuhan Integriti telah diserikan dengan kehadiran Y.Bhg. Dato’ Wira Mohd Sharif, mantan Pegawai Daerah yang memberikan suntikan perangsang kepada peserta bagaimana beliau memperolehi Ijazah PhD dari UUM pada usia 78 tahun . Ucaptama penutupan Bengkel telah dilakukan oleh Y.Bhg. Dato’ Ariffin bin Man, mewakili Pengarah Pembangunan Negeri Kedah.