|   dan Selamat Sejahtera Sememangnya menjadi impian rakyat Malaysia untuk melihat mutu perkhidmatan awam di Malaysia agar senantiasa di pertingkatkan dari semasa ke semasa. Perkara ini akan hanya dapat dicapai dengan lebih mudah sekiranya seluruh warga kerja perkhidmatan awam berpegang dan mengamalkan nilai-nilai integriti yang tinggi. Sektor Awam akan terus komited dalam usaha untuk memertabatkan integriti dalam kalangan anggota perkhidmatan awam di negara ini. Pelbagai program telah dirancang dan dijalankan bagi memastikan mesej integriti dapat difahami, dihayati dan diamalkan oleh warga perkhidmatan awam di negara ini. Pelaksanaan kursus dan seminar untuk agensi kerajaan seperti Kursus Pembangunan Individu dan Organisasi Berintegriti Dalam Sektor Awam (PIOB), Kursus Kesedaran Terhadap Pencegahan Fraud Dalam Sektor Awam, Seminar Integriti Warga Pendidik (SIWP), dan Seminar Integriti Warga Pihak Berkuasa Tempatan (SIW PBT) merupakan manifestasi ke arah tersebut. Selain itu, Sektor Awam turut terlibat dalam memberikan input untuk kursus-kursus yang dianjurkan oleh agensi kerajaan yang lain samada oleh pegawai sendiri maupun jurulatih yang telah dilatih melalui kursus Latihan untuk Pengajar. Selain dari mengadakan kursus dan seminar, Sektor Awam juga turut mengadakan forum dan dialog dengan kerjasama pihak RTM. Contohnya Program Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan di RTM 1 telah dimulakan semenjak tahun 2005 lagi dan masih diteruskan hingga sekarang. Program Forum Perdana Ehwal Islam ini membincangkan isu-isu semasa seperti integriti perkhidmatan awam, integriti remaja, integriti keluarga dan lain-lain lagi. Semoga melalui program yang dirancang dan dilaksanakan ini akan dapat mewujudkan lebih ramai anggota perkhidmatan awam yang berintegriti dan mempunyai ciri-ciri peribadi yang unggul. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di negara ini agar dapat mewujudkan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan. Bagi memastikan mesej integriti dalam kalangan penjawat awam ini dapat disampaikan secara meluas, Sektor Awam telah dibahagikan kepada 2 unit iaitu Unit Persekutuan dan Unit Negeri. Unit Persekutuan akan menjalankan program-program di peringkat Kementerian atau agensi Kerajaan Persekutuan manakala Unit Negeri pula akan memfokus kepada program-program untuk agensi Kerajaan Negeri seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan seumpamanya. Akhir kata, saya berharap laman web ini dapat membantu tuan/puan mendapatkan maklumat terkini berkaitan program-program yang dianjurkan oleh IIM. Selain itu, saya juga berharap laman web ini dapat berfungsi sebagai media untuk untuk menyuarakan pandangan serta cadangan ke arah mewujudkan perkhidmatan awam yang berintegriti dan cekap. Sekian. Mohammad Diah Hj. Wahari Pengarah Sektor Awam Institut Integriti Malaysia. |
| |
Paparan : 8468
Tarikh Kemaskini : 05 Oktober 2011