|   Assalamualaikum wbh,Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia Saya ingin mengucapkan selamat datang dan selamat melayari Portal Rasmi Institut Integriti Malaysia (IIM). Kami di Sektor Politik sentiasa berusaha untuk menyumbang ke arah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri. Negara maju bukan sahaja dilihat dan dinilai dari segi pembangunan fizikal semata-mata tetapi juga dari segi pemantapan etika dan integriti yang dimiliki oleh masyarakatnya. Dalam konteks ini, politik bertindak sebagai satu elemen yang penting dalam usaha untuk memajukan negara serta memakmurkan rakyatnya. Matlamat Sektor Politik adalah untuk membantu menjayakan visi dan misi IIM melalui peningkatan penerapan, penghayatan dan pengamalan budaya politik bersih, beretika dan demokratik di kalangan ahli politik, parti politik, institusi politik dan masyarakat umum seperti yang termaktub di dalam strategi tujuh dalam Pelan Integriti Nasional (PIN). Sejak penubuhannya pada tahun 2006, Sektor Politik telah merancang dan melaksanakan berbagai program dan aktiviti dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang kepentingan pengamalan integriti politik. Tanggungjawab ini telah dilaksanakan dengan mengambil pendekatan holistik dan bersepadu serta komitmen daripada segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira umur, agama, bangsa serta fahaman politik. Berbagai jenis program telah dianjurkan dalam bentuk perbincangan melalui Forum Rakyat, Forum Khas Bersama Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Forum Pengukuhan Integriti Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pertandingan Pidato, Program Integriti Kepimpinan Muda, Seminar Integriti Politik Akar Umbi dan Perbincangan Meja Bulat. Sektor Politik juga telah menerbitkan beberapa bahan bacaan umum yang membincangkan isu-isu integriti dalam arena politik negara. Di samping itu, kajian dan penyelidikan integriti politik akan dilaksanakan secara berfokus bertujuan untuk mengenal pasti isi-isu dan permasalahan utama dalam Integriti Politik. Akhir kata, semoga dengan adanya Portal Rasmi IIM berwajah baru ini, para pelawat akan dapat mengenali Sektor Politik IIM dengan lebih dekat lagi. Sekian. MEMBUDAYAKAN INTEGRITI MASYARAKAT MALAYSIA MOHD ISMAIL BIN ABD. JALIL Pengarah Sektor Politik Institut Integriti Malaysia.
|