|  Pada 11 Mei 2010, Y.B. Menteri Pengajian Tinggi telah melancarkan Rakan Integriti Mahasiswa (RIM). Pelancaran RIM dibuat sempena Kongres Integriti Pemimpin Mahasiswa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dihadiri oleh 1,200 orang pemimpin mahasiswa dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dari seluruh negara. Idea penubuhan RIM ini telah dicetuskan sendiri oleh Y.B Menteri Pengajian Tinggi di mana, pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Debat Perdana Integriti 2010 di Universiti Malaysia Sabah pada 16 Mac 2010 beliau telah menyarankan agar semua IPTA menubuhkan RIM bagi membolehkan mahasiswa melaksanakan program kesedaran integriti di kampus masing-masing. Adalah diharapkan agar penubuhan RIM ini dapat dijadikan asas dan saluran terbaik agar integriti dijadikan sebagai budaya dalam kampus selari dengan hasrat kerajaan melalui perlaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Selain itu, RIM juga diharap agar dapat menjadikan pelajar dan mahasiswa sebagai Integrity Champion dalam kalangan rakan sebaya di peringkat institusi pengajian masing-masing khususnya, dan masyarakat amnya. Sesungguhnya, Y.A.B. Perdana Menteri sendiri telah memberi penekanan dalam aspek ini dan menjadi antara ciri utama gagasan 1Malaysia. Antara fokus utama pelaksanaan agenda integriti nasional adalah terhadap golongan pelajar sebagai barisan pelapis kepimpinan negara masa hadapan. SENARAI TERKINI RIM YANG TELAH DITUBUHKAN DI IPT: 1. Universiti Sains Malaysia 2. Universiti Putra Malaysia 3. Universiti Malaysia Sarawak 4. Universiti Malaysia Sabah 5. Universiti Pendidikan Sultan Idris 6. Universiti Sains Islam Malaysia 7. Universiti Malaysia Terengganu 8. Universiti Teknikal Malaysia Melaka 9. Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar 10. Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah |