BERITA SEKTOR SOSIOBUDAYA
SEMINAR INTEGRITI KEPIMPINAN WANITA
Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menganjurkan Seminar Integriti Kepimpinan Wanita yang bertemakan Pemerkasaan Wanita Sebagai Model Peranan Dalam Integriti pada 28 April 2011 bertempat di IIM.
Seminar ini telah diserikan dengan kehadiran Y. Bhg. Senator Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menyampaikan ucap utama bersempena ulang tahun penubuhan IIM yang ke 7. Seramai 550 peserta seminar telah membanjiri IIM yang telah berlangsung daripada jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Antara objektif seminar ini adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada peserta wanita mengenai Tekad Integriti yang terdapat di dalam agenda pengukuhan integriti Negara, meningkatkan penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan wanita dan mengenal pasti peranan yang boleh dimainkan oleh wanita di dalam ruang keluarga dan masyarakat (awam, swasta, sivil) untuk meningkatkan integriti.
Bagi sesi sebelah pagi sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan seperti berikut:-
1. “Wanita Berintegriti Sebagai Tunjang Keluarga Sejahtera dan Asas Kejayaan Sesebuah Negara” Oleh: Y.Bhg. Dato’ Aminah Abdul Rahman (Ketua Pengarah Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara)
2. "Kepimpinan Wanita Dalam Sektor Awam:Satu Perspektif Integriti” Oleh: Y.Bhg Datuk Rafiah Salim (Pengarah NAM Institute for the Empowerment Women (NIEW)
3. “Etika Pembangunan dan Pertumbuhan Ekonomi Negara : Peranan Golongan Wanita - Dari Aspek Keusahawanan : Satu Pengalaman” Oleh : Y. Bhg Datuk Dr. Maznah Hamid (Pengerusi Eksekutif SECURIFORCE SDN BHD)
Hasil daripada sesi perbengkelan pada sebelah petang telah menghasilkan resolusi seperti berikut:-
Menyeru Kaum Wanita Memperkasa Diri Untuk
• Menerima amanah sebagai tiang dan tonggak pewaris nilai murni dan etika berwibawa
• Menjadi penggerak pemantapan integriti dalam keluarga untuk membina keluarga dan komuniti bahagia
• Mengukuhkan nilai-nilai murni kejiranan dan komuniti
• Meneraju pelaksanaan prinsip ketelusan, pertanggung-jawaban dan tadbir urus terbaik
• Membudayakan integriti sektor korporat melalui budaya niaga yang beretika dan meningkatkan komitmen terhadap pertanggungjawaban sosial