Perutusan Y.A.B Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia
Malaysia telah mencapai kejayaan cemerlang sebagai sebuah negara membangun dan sedang berusaha menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri. Untuk melangkah ke masa hadapan yang lebih cemerlang, negara kita harus bijak mengurus kejayaan, serta dengan tegas dan berkesan mengatasi pelbagai kelemahan dan kekurangannya. Cabaran besar yang perlu ditanganinya dalam usaha tersebut ialah pemantapan etika dan integriti.
Dalam perkhidmatan awam, Kerajaan telah melaksanakan Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia melalui Arahan Y.A.B. Perdana Menteri No.1 Tahun 1998, khususnya melalui penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di semua kementeriaan, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Namun, belum ada satu mekanisme menyeluruh untuk melibatkan semua sektor lain seperti sektor swasta, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agama, media, wanita, belia dan pelajar dalam gerakan pemantapan integriti secara bersepadu. Dalam hubungan inilah Kerajaan telah menggubal dan melaksanakan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang berperanan sebagai pelan induk bertujuan memberikan bimbingan kepada keseluruhan sektor tersebut.
Semangat dan prinsip Perlembangaan Persekutuan, falsafah dan prinsip Rukun Negara serta aspirasi dan cabaran Wawasan 2020 menjadi pedoman bagi penggubalan dan pelaksanaan PIN. Bahkan, objektif umum PIN ialah memenuhi cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu "membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan diitunjangi oleh budi pekerti yang luhur."
PIN ialah sebuah pelan integriti yang lahir daripada aspirasi masyarakat dan negara Malaysia, dibentuk mengikut acuan Malaysia dan dimiliki bersama oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. PIN digubal dengan mengambil kira keseluruhan pandangan dan cadangan yang disampaikan melalui satu siri seminar kebangsaan yang berlangsung selama kira-kira dua bulan, yang melibatkan para peserta daripada hampir kesemua sektor masyarakat dan negara Malaysia. Justeru itu, PIN mencerminkan hasrat bersama para pemimpin dan rakyat negara kita.
Bagi memastikan gerakan pemantapan integriti berjalan lancar dan mencapai matlamatnya, PIN menyusun keutamaan dan menetapkan sasarannya. Bagi tempoh lima tahun pertama (2004-2008), PIN menetapkan lima sasaran keutamaan yang hendak dicapai. Sasaran yang dikenali sebagai TEKAD 2008 ini ialah:
Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan;
Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi;
Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan;
Memantapkan institusi keluarga; dan
Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
Untuk mencapai TEKAD 2008, pendekatan dan strategi umum yang digunakan oleh PIN ialah menggerakkan semua sektor di seluruh negara dan masyarakat supaya mendukung dan menghayati semangat PIN. Mereka juga harus bekerjasama dan berkoordinasi di antara satu sama lain untuk melaksanakan pelbagai programnya.
Gerakan pemantapan integriti memberi tumpuan kepada peningkatan integriti daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat atas. Kesemua komponen dan sektor berikut dilibatkan, iaitu keluarga, komuniti, dan masyarakat sivil (yang di dalamnya terdapat pelbagai badan bukan kerajaan), membawa kepada sektor agama, sosiobudaya (pendidikan, kesihatan, sukan dan rekreasi, media massa, seni, sastera dan warisan), ekonomi, politik dan pentadbiran. Dengan demikian, gerakan ini benarbenar bersifat menyeluruh dengan meliputi semua lapisan dan sektor negara dan masyarakat. Oleh sebab pendekatan ini melibatkan penjalinan kekuatan pelbagai 'institusi dari bawah' serta penggemblengan keseluruhannya dengan 'pihak atas' untuk tujuan meningkatkan integriti, maka ia mempunyai dinamisme dan keampuhannya yang tersendiri.
Serentak dengan pelancaran PIN, Kerajaan juga menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM). Kerajaan yakin sebagai mekanisme pelaksana dan pengkoordinasi pelaksanaan PIN, Institut ini akan dapat menjalankan tugasnya dengan baik dan berkesan.
Gerakan pemantapan integriti yang dipacu oleh PIN dan dikoordinasikan oleh IIM ialah suatu gagasan yang semakin menawan imaginasi pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. la sedang menjadi suatu kekuatan masyarakat bagi mengurus kejayaan dan mengatasi kelemahan dengan berkesan. Pelancaran PIN dan penubuhan Institut ini akan menjadi pendorong terbesar ke arah pencapaian matlamat gerakan pemantapan integriti. Kesemua ini akan membolehkan Malaysia secara teratur melangkah ke hadapan untuk mencapai cita-cita menjadi sebuah masyarakat maju menurut acuan sendiri, serta membinanya menjadi lebih cemerlang, gemilang, dan terbilang.