Gerakan pemantapan integriti adalah satu gerakan menyeluruh dan berterusan yang dipandukan oleh prinsip dan objektif Pelan Integriti Nasional (PIN). Pendekatan umum PIN ialah menggerakkan semua komponen dan sektor negara dan masyarakat supaya mendukung dan menghayati objektif dan matlamat PIN serta bekerjasama dan berkoordinasi di antara satu sama lain untuk mencapai cita-citanya. Pendekatan ini melibatkan penjalinan kekuatan pelbagai komponen 'dari bawah' yang bekerjasama sesama sendiri serta penggemblengan kekuatan tersebut dengan 'pihak atas' untuk tujuan meningkatkan integriti. Oi antara pelbagai komponen itu terdapat timbal balas yang berterusan. Sementara 'pihak atas' memberikan bimbingan dan menunjukkan teladan mengenai integriti, 'pihak bawah' pula memberikan sokongan, maklum balas dan kawalan kepada 'pihak atas'. Oengan cara ini, gerakan pemantapan integriti meningkatkan dinamika dat kekuatannya.
Setiap komponen atau sektor perlu mempunyai dan melaksanakan strategi dan program integriti masing-masing selaras dengan PIN. Strategi, program dan aktiviti itu perlu diulangkaji dari semasa ke semasa. Ulangkaji itu ialah untuk menilai keberkesanan dan memperbaiki kelemahannya agar integriti secara selangkah demi selangkah menjadi budaya masyarakat dalam jangka panjang.
Komponen Terlibat
Keseluruhan komponen atau institusi berikut terlibat dalam gerakan ini (sila lihat Gambarajah 2):
3.1 Keluarga;
3.2 Komuniti;
3.3 Masyarakat Sivil (Pertubuhan Bukan-Kerajaan);
3.4 Sosiobudaya (pendidikan, kesihatan, sukan dan rekreasi, media massa, seni, sastera dan warisan);
3.5 Agama;
3.6 Ekonomi;
3.7 Politik; dan
3.8 Pentadbiran.
Mekanisme Pelaksanaan
Pelaksanaan dan penyelarasan program integriti di setiap komponen atau institusi adalah tanggungjawab agensi yang sudah sedia wujud dalam komponen itu sendiri. Bagi komponen yang tidak ataupun belum mempunyai mekanisme berkenaan, usaha ke arah pembentukan mekanisme ini perlu dilakukan.
Pada masa ini di sektor awam sudahpun terdapat mekanisme pelaksanaan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di pelbagai peringkat. Mekanisme ini perlu diperkukuhkan dengan komitmen yang lebih tinggi semua lapisan kepimpinan supaya ia menjadi lebih berkesan. Bagi sektor swasta, terdapat badan-Dadan yang mewakili kepentingan majikan seperti dewan perniagaan dan persatuan lain yang boleh memainkan peranan ini. Badan pengawalan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berperanan untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang ditetapkan untuk sektor-sektor berkenaan.
Bagi komponen lain seperti keluarga, komuniti, masyarakat sivil, dan sosiobudaya, terdapat pelbagalagensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah sedia wujud dari yang boleh menjadi penggerak dalam melaksanakan program integriti masing-masing. Pemantauan oleh manamana agensi seperti Pendaftar Pertubuhan, misalnya, perlu dilakukan secara berkesan. Walau bagaimanapun, pemantauan dan penyelarasan paling berkesan ialah oleh badan-badan dalam komponen itu sendiri.
Kepentingan golongan pelajar, belia, wanita, golongan agama dan pelbagai kumpulan etnik, khususnya golongan minoriti, penduduk bandar dan luar bandar serta golongan bawahan, perlu diberikan perhatian khusus dalam gerakan pemantapan integriti. Pemerkasaan atau empowerment melalui penglibatan golongan-golongan ini dalam proses pembuatan keputusan di pelbagai peringkat patut dititikberatkan, manakala perasaan tersisih atau terpinggir perlu diatasi. Pelaksanaan dan penyelarasan program integriti masing-masing juga harus dilakukan melalui pelbagai badan yang sedia wujud.
Bagi kelompok seperti pelajar, belia, dan wanita, terdapat banyak organisasi yang mewakili mereka. Bahkan, di peringkat kebangsaan masing-masing mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan, Majlis Perundingan Belia Kebangsaan, dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). Bagi golongan pekerja, terdapat CUEPACS dan MTUC masing-masing untuk pekerja sektor awam dan sektor swasta. Bagi golongan petani dan nelayan, terdapat Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan, untuk kelompok masing-masing yang bergerak di peringkat nasional dan juga peringkat akar umbi.
Bagi penganut agama, terdapat banyak pertubuhan dan institusi agama pelbagai kaum di peringkat nasional dan tempatan. Badan-badan ini perlu membimbing ahli mereka supaya menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni agama masing-masing. Badan-badan ini juga perlu memainkan peranan mengukuhkan perpaduan dan persahabatan, sekaligus memupuk sikap saling memahami dan menghormati antara penganut agama yang berlainan.
Kelompok etnik mempunyai banyak pertubuhan khusus yang mewakili kepentingan etnik masing-masing. Hak dan kepentingan wajar golongan etnik perlu dihormati. Namun, kecenderungan bergerak mengikut garis etnik perlu diselaraskan dengan kepentingan membina sebuah komuniti nasional yang bersatu padu dan harmoni. Pelbagai pertubuhan yang mewakili kepentingan etnik perlu melaksanakan program integriti masingmasing yang menitikberatkan nilai perpaduan, persefahaman dan kerjasama antara kaum di samping menekankan nilai-nilai terbaik etnik sendiri.
Untuk menjamin kejayaan gerakan pemantapan integriti, pelaksanaan, pemantauan, serta koordinasi atau penyelarasan pelaksanaan program haruslah dilakukan 'dari bawah' melalui pemerkasaan komponen atau sektor masing-masing. Pemantauan dan penyelarasan yang dilakukan secara pentadbiran yang birokratik boleh membantut daya usaha akar umbi dan ini harus dielakkan. Sensitiviti pelbagai lapisan atau komponen masyarakat terhadap campur tangan, pihak lain perlu diambil perhatian. Sikap terhadap mana-mana golongan ataupun pertubuhan perlu tepat dan membina. Tindakan melabelkan mereka oleh pihak berkuasa dan pihak lain tidak harus dilakukan.
Kesimpulan
Supaya setiap komponen atau sektor dapat bertemu, berkongsi pengalaman dan berdialog antara satu sarna lain di pelbagai peringkat, menilai keberkesanan program integriti masing-masing serta membaharui komitmen mereka kepada usaha peningkatan integriti, satu Konvensyen Integriti perlu diadakan secara berkala. Konvensyen yang menjadi forum pertemuan semua komponen dan sektor ini akan dianjurkan di pelbagai peringkat dengan kemuncaknya di peringkat kebangsaan.
Institut Integriti Malaysia (IIM) yang ditubuhkan serentak dengan pelancaran PIN berperanan selaku penganjur Konvensyen ini secara bersama dengan pelbagai sektor berkenaan. IIM juga berperanan selaku penyalur sebarang perakuan yang terbit daripada Konvensyen tersebut kepada Kerajaan serta pelbagai pihak lain yang bekenaan.