|  PROGRAM-PROGRAM UTAMA SEKTOR POLITIK. Pertandingan Pidato Integriti Piala Menteri Pelajaran Malaysia antara Institut Pendidikan Guru Malaysia. Program ini adalah acara tahunan anjuran bersama antara Institut Integriti Malaysia dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Objektif Pertandingan Pidato Integriti antara IPGM ini adalah untuk mempromosi serta membudayakan etika dan integriti dalam kalangan bakal guru khususnya dan masyarakat umumnya. Di samping dapat menambah kefahaman mengenai usaha pengukuhan integriti negara, pertandingan ini juga akan dapat mengasah bakat sedia ada dalam kalangan pelajar yang merupakan bakal pemimpin di masa hadapan. Forum Rakyat : Jenayah, Anda & Integriti Program Forum Rakyat adalah antara salah satu program yang dilaksanakan oleh Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM), NKRA Jenayah serta beberapa agensi lain dalam usaha untuk mendekati rakyat dan menyampaikan mesej integriti serta mengajak rakyat untuk bersama-sama dengan kerajaan, khususnya bersama-sama IIM untuk menjayakan agenda integriti negara demi kesejahteraan masyarakat dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat. Fokus utama program ini adalah untuk memenuhi sasaran Kelima dalam Tekad Integriti iaitu Pemantapan Institusi Keluarga dan Meningkatkan Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Rakyat. Forum Khas Agenda Integriti Nasional bersama Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Parlimen Malaysia. Peserta yang terlibat ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Objektif program ini adalah untuk memberi kefahaman tentang maksud integriti politik, isu-isu yang menjejaskan integriti dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya. Di samping itu, IIM juga berkongi maklumat tentang kajian “Sejauh mana Pemimpin Politik Yang Berintegriti Dihargai Rakyat” yang telah dilaksanakan oleh IIM. Harapan IIM adalah supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara ini akan menjadi Integrity Champion @ Duta Integriti yang bakal menterjemahkan agenda integriti nasional dalam kalangan masyarakat amnya. Program Integriti Kepimpinan Muda Program Integriti Pemimpin Muda ini adalah program berbentuk kem (outdoor) dengan menggunakan pendekatan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan peserta digalakkan melakukan pelbagai aktiviti dan membincangkan isu-isu yang berbangkit secara berkumpulan. Kem ini akan dikendalikan oleh beberapa orang fasilitator dan menggunakan modul yang telah dibangunkan khusus untuk pemantapan integriti politik. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman belia mengenai peranan yang boleh mereka mainkan dalam agenda pengukuhan integriti Negara khususnya integriti politik, meningkatkan penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan pemimpin muda dan menjadikan peserta sebagai Integrity Champion yang bakal menterjemahkan agenda integriti nasional dalam kalangan rakan sebaya khususnya, dan masyarakat amnya. |