| ||||
| `
TANGGUNG JAWAB SOSIAL KORPORAT
Institut Integriti Malaysia (IIM) telah memperakukan agenda Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility- CSR) sejak awal penubuhannya pada tahun 2004 selaras dengan sasaran Tekad Integriti, Sasaran 5 iaitu "meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat" yang dinyatakan di dalam Pelan Integriti Nasional (PIN). IIM berperanan sebagai peneraju dan pemangkin usaha-usaha dalam pemantapan integriti sektor korporat dan peningkatan komitmen terhadap pertanggungjawaban sosial meliputi alam sekitar, pembangunan komuniti setempat, kepentingan kebajikan pekerja di tempat kerja dan operasi pasaran yang beretika. Strategi teras dan usaha-usaha IIM keseluruhannya menjurus kepada peningkatan kualiti dan kesejahteraan hidup masyarakat. Manakala, pemantapan nilai-nilai murni dan integriti secara berterusan dalam setiap lapisan masyarakat merupakan sasaran jangka panjang dalam matlamat pembangunan kerajaan. IIM telah melibatkan diri secara lagsung dengan badan-badan kawalselia seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia melalui penyertaan projek-projek usahasama dan promosi sokongan, antaranya Bursa Malaysia CSR Framework, SSM Corporate Responsibility Agenda dan SC-Institute of Corporate Responsibility Awards. Pada tahun 2010, IIM meneruskan pelaksanaan program integriti Alam Sekitar dan modal sumber manusia diperingkat nasional. Program dan acara yang dilaksanakan termasuklah projek tahunan CSR Rebung melibatkan ketua-ketua pelajar sekolah menengah, forum alam sekitar, Kem Mesra Didik dan Jelajah Integriti bersama anak-anak orang asli. Program CSR Rebung 2010 yang telah dijayakan di MRSM FELDA, Trolak, Perak pada 13-20 Jun tahun lepas, dilaksanakan dengan kerjasama bahagian Pendidikan Menengah MARA, Persatuan Veteran VAT 69 Komando, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Malaysian Nature Society (MNS), Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON), Institut Sosial Malaysia dan Universiti Pengajian Sultan Idris (UPSI). Kem Mesra Didik 2010 yang melibatkan hampir 400 orang anak Orang Asli seluruh Malaysia telah dijayakan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di MRSM Kuala Kubu Baru pada 12-16 Disember tahun lalu. Program yang mengaplikasikan elemen pembelajaran dan modul teater ini mengembleng tenaga alumnus CSR Rebung dan Integrity Business Club dengan tujuan mendidik dan menjadi contoh teladan kepada pelajar-pelajar Orang Asli. Seperti tahun sebelumnya, Jelajah Integriti siri ketiga yang dilaksanakan di Pos Balar dan Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan pada 2-8 Julai 2010 mengambil pendekatan pendidikan untuk membantu memperbaiki status ekonomi Orang asli. Projek ini merupakan projek tahunan IIM yang melibatkan hampir keseluruhan warga IIM dan rakan-rakan Integriti dalam satu inisiatif CSR yang terancang, berterusan dan bertumpu kepada masyarakat Orang Asli terpinggir di seluruh negara. IIM juga menganjurkan Forum Integriti Alam Sekitar dengan harapan program ini dapat membantu mendidik masyarakat tentang betapa pentingnya memelihara dan memulihara alam sekitar demi kesejahteraan semua. Bagi menjayakan program ini, IIM telah bekerjasama dengan tokoh-tokoh yang mempelopori pemuliharaan alam sekitar dan agensi serta organisasi yang berkaitan seperti Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Malaysian Nature Society (MNS) dan Jabatan Alam Sekitar. IIM berharap agar melalui program-program pendidikan seperti ini dapat membantu mendidik masyarakat mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar untuk kesejahteraan bersama pada masa kini dan masa hadapan. Penerbitan risalah dan sebaran am bahan media mengenai kepentingan pemuliharaan integriti alam sekitar juga diteruskan. Malah, di dalam operasi harian dan tadbir urus IIM, semua warga IIM digalakkan agar mengamalkan budaya kitar semula (3R- Reduce, Reuse, Recycle) dengan cara mengurangkan penggunaan plastik di pejabat, penggunaan semula kertas terpakai dan penjimatan penggunaan hawa dingin, elektrik dan air sepanjang waktu pejabat. Institut Integriti Malaysia akan meneruskan usaha-usaha menanam nilai-nilai murni dan integriti melalui program-program CSR yang berbentuk pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.
Tarikh Kemaskini : 10 Mei 2012 |
















